sejak semalam, angin bertiup kencang di sini, dan malam tadi, diselangi dengan hujan yang turun agak lebat juga, terdapat beberapa dahan pohon yang patah disebabkan angin yang terlalu kuat ini. Semoga tiada perkara yang tidak diingini akan berlaku dalam cuaca sebegini, kerana agak sukar untuk mengenalpasti pohon yang mungkin sudah rapuh akibat dimamah usia, kepada semua yang mengalami cuaca yang sama, berhati-hati jika anda berada di luar rumah.
Kali ini aku sekadar ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh menjimatkan wang perbelanjaan kita apabila ianya diperlukan, kita hanya perlu mempelajari beberapa kemahiran hidup yang akan membolehkan kita memperbaiki atau melakukan sesuatu perkara itu dengan sendiri, tanpa perlu mengupah orang lain untuk melakukannya. Aku memang sejak kecil suka melakukan perkara-perkara yang melibatkan kemahiran hidup, dari memperbaiki basikal sehinggalah membina peralatan kayu untuk kegunaan kayu di rumah aku, semuanya dilakukan kerana aku suka, dan secara tak langsung, aku berjaya menjimatkan wang ringgit dengan kemahiran ini.
Mari kita lihat antara perkara mudah yang boleh kita lakukan.
Sistem perpaipan
Mahu atau tidak, pasti setiap rumah akan mempunyai sistem perpaipan untuk tujuan saliran air, setakat ini aku tidak pernah lagi menjumpai rumah yang tidak mempunyai sistem perpaipan di rumah, yang buat setiap rumah berbeza hanyalah jenis sistem tersebut, ada yang menggunakan paip besi, ada yang menggunakan pvc dan pelbagai lagi. Semua dengan satu tujuan, untuk mendapatkan saliran air di dalam rumah. Sistem saliran air ini kadangkala memerlukan kerja-kerja selenggaraan, contohnya apabila penapis di bawah sinki tersumbat, ataupun kepala paip di dalam bilik air telah bocor, bebola pelampung dalam tangki simbah sudah rosak dan pelbagai lagi.
Kebanyakan masalah ini perlu dibaiki dengan secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang suasana yang tidak diingini, seperti sinki sumbat, air yang meleleh tanpa henti yang menyebabkan pembaziran air dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, kita perlu memanggil tukang membaiki paip, ataupun kita boleh melakukannya sendiri jika kita mempunyai kemahiran hidup ini. Aku biasanya akan membaiki sendiri terlebih dahulu masalah ringan seperti ini, kerana ianya hanya mengambil masa yang sedikit, dan aku hanya perlu membeli alat ganti atau paip yang baru untuk mengatasinya. Tetapi bagaimana jika kita memang tidak pernah mempelajari kemahiran ini? Banyak sumber rujukan dan video yang boleh kita cari di alam maya ini, seperti contoh laman web ini http://www.diyadvice.com/diy/plumbing/pipe/
Pertukangan kayu
Satu lagi kemahiran yang membolehkan anda berjimat, seperti contoh dalam artikel DIY: Rak kayu tempoh hari, aku membina rak ringkas untuk kegunaan di dapur aku dengan modal yang minima. Mungkin ada yang akan mempertikai, “tapi tak lawa macam beli kat kedai” tetapi berbalik kepada tujuan asal artikel ini ditulis adalah untuk berjimat. Modal yang aku keluarkan untuk rak kayu itu membolehkan aku menggunakan kayu yang lebih berkualiti, dan jika aku ingin rupa yang lebih lawa, memang masih boleh dicapai, segalanya bergantung kepada diri kita sendiri.
Selain itu, jika anda mempunyai kemahiran seperti ini, jika ada pintu yang rosak, atau kunci pada pintu rosak, anda boleh membaikinya sendiri, tanpa perlu berharap kepada orang lain. Semasa aku bekerja untuk sebuah kedai hardware, walaupun aku sekadar pembantu kedai tersebut, tetapi apabila aku pergi memasang kunci pintu, upahnya adalah dari RM30-RM80 untuk sekali perkhidmatan. Jika kita lakukannya sendiri, pasti kita boleh menjimatkan wang ini untuk digunakan pada benda yang lain.
Barangan elektrik
Ini satu lagi kemahiran hidup yang bagi aku penting, contohnya apabila lampu kalimantang sudah tidak menyala, anda boleh menukarkan mentol, atau starter lampu tersebut, tetapi jika masih tidak menyala? terus mengaku kalah dan membeli lampu baru? Apakata kita buka perumah lampu tersebut dan memeriksa bahagian dalam lampu itu dengan menggunakan test pen, mungkin ada wayar yang telah rosak sebab terlalu lama, atau bahagian penyambung yang telah longgar. Pemeriksaan seperti ini akan menjimatkan dan berguna pada masa-masa lain seperti semasa kenduri kendara, dan anda ingin memasang lampu tambahan untuk kegunaan majlis.
Satu lagi benda yang selalu rosak di rumah aku adalah plug extension atau sambungan wayar dengan kebolehupayaan untuk menyambung 2 atau lebih barangan elektrik. Kadangkala ada sesetengah bahagian yang rosak, dan ianya disebabkan sambungan beban berlebihan atau lain-lain perkara. Kebiasaannya jika beban berlebihan disambung, wayar yang menampung beban itu akan terlalu panas dan terbakar/hangus, itu sebablah ianya tidak dapat digunakan lagi. Cara penyelesaian adalah dengan membeli wayar yang sama spesifikasinya dan tukarkan wayar yang terbakar dengan wayar yang baru. Tetapi jika kita tidak membuka dan mengkaji kenapa ianya rosak, pasti setelah semuanya rosak, benda ini akan dibuang ke dalam tong sampah atau dalam setor.
–
Banyak lagi sebenarnya kemahiran hidup yang boleh menjimatkan kewangan dalam kehidupan kita, soalnya
adakah kita ingin mempelajarinya dan mengamalkannya?
semuanya terletak di tangan kita, berjimat dari sekarang demi kemudahan di masa hadapan. Sekadar berkongsi apa yang aku lakukan saban hari.SUMBER:http://www.eizil.com/berjimat-dengan-kemahiran-hidup/